SHAH ALAM, 20 MEI: Selangor meneruskan Program Saringan Komuniti di 44 Dewan Undangan Negeri (DUN) demi mengekang penularan Covid-19.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini program itu telah dilaksanakan di 12 DUN Sungai Tua dan Gombak Setia.
“Sebelum ini kita hanya fokus di kawasan ‘hotspot’ jangkitan Covid-19 yang dikesan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).
“Namun, apabila kita laksanakan program ini di DUN maklum balas kita terima lebih baik malahan kehadiran orang awam melakukan saringan lebih ramai seperti di Gombak Setia hari ini (semalam) saya dimaklumkan lebih 2,000 hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Isu Kemanusiaan di Palestin dan Perkembangan Covid-19 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.
Amirudin menambah penglibatan orang ramai itu juga bukti usaha mereka untuk bersama mengekang penularan pandemik.
Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.
Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.
Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.