Rakaman takbir raya melibatkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO dan pegawai kanan kerajaan di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor. Foto ihsan Gaya Travel Magazine
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Promosi lokasi pelancongan unik, dron rakam takbir di puncak Malawati

SHAH ALAM, 4 MEI: Satu unit dron dan tiga kamera digunakan untuk merakam takbir Aidilfitri barisan pemimpin negeri di puncak lokasi bersejarah Bukit Malawati bagi memberi kesan unik ibadat tersebut.

Takbir itu yang dipimpin Imam Masjid Negeri Abdul Karim Omar sebahagian program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor melibatkan Dato’ Menteri Besar, barisan EXCO dan pegawai kanan kerajaan.

“Rakaman menggunakan dron supaya dapat menghasilkan visual seakan-akan dalam filem. Ia lebih sinematik, juga menghasilkan suasana indah dan lebih syahdu,” kata penerbit eksekutif Megaday Media Sdn Bhd.

Azhar Sulaiman juga berkata ia diadakan di Kuala Selangor kerana lokasi itu menyimpan khazanah sejarah awal kesultanan Selangor, Sultan Salehuddin Shah ibni Almarhum Daeng Celak.

“Melihatkan lokasi yang cukup unik ini, kami berharap penduduk Selangor tahu mereka ada tempat yang sangat cantik di samping menghargai sejarah di situ,” katanya kepada SelangorKini.

Pelakon itu menjelaskan takbir yang dilaungkan dalam rakaman berkenaan pertama kali dibuat dalam suasana di luar masjid.

“Meriam di Bukit Malawati menjadi salah satu prop utama dalam penggambaran. Jika orang dulu-dulu bertakbir tetapi senjata di sisi adalah keris, kali ini kita letakkan (paparkan) meriam.

“Kami pasang pentas di puncak Bukit Malawati dan mereka bertakbir sambil menghadap matahari terbenam,” kata artis terkenal itu.

Takbir hari raya antara pengisian Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang berlangsung selama sejam.

Selebriti Raja Azura dan Salih Yaacob mengacara program seni ini yang disertai artis terkenal antaranya Siti Nordiana, Najwa Latif, Bunkface dan Ahmad Yassin yang memiliki versi suara Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Che Puan Juliana Evans dan Ropie Cecupak pula melakonkan sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima Inisiatif Peduli Rakyat.

Selain SelangorTV, program itu akan disiar melalui Facebook Media Selangor pada jam 9 malam 2 Syawal.

 


Pengarang :