Orang ramai sanggup beratur dua kilometer untuk menyertai Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2, Puchong pada 22 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rela beratur panjang, ribuan warga Kinrara sertai saringan percuma

PUCHONG, 22 MEI: Lebih 3,000 penduduk sekitar Kinrara menghadiri Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2, hari ini.

Tinjauan mendapati mereka rela beratur sejauh dua kilometer sejak jam 7.30 pagi meskipun ujian percuma anjuran Kerajaan Negeri bermula jam 9 pagi.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata jumlah kehadiran menunjukkan sikap bertanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama mengekang penularan wabak.

“Mereka yang hadir terdiri pelbagai golongan ada warga tua, muda dan remaja malah seisi keluarga membawa anak-anak kecil.

“Ini menunjukkan kesedaran masyarakat semakin meningkat selepas kebanyakan kes positif melibatkan pesakit tidak gejala,” katanya yang juga wakil rakyat Kinrara ketika ditemui.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarang :