Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Gombak pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Petaling catat lebih 8,000 kes dalam tempoh dua minggu

SHAH ALAM, 23 MEI: Sebanyak 23,212 kes Covid-19 dikesan di Selangor dalam tempoh dua minggu dengan daerah Petaling mencatat bilangan tertinggi iaitu 8,189 kes.

Berdasarkan perkongsian Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) daerah kedua tertinggi ialah Hulu Langat dengan 4,809 kes diikuti Klang (3,735), Gombak (2,600), Kuala Langat (1,312) dan Sepang (1,045).

Hanya tiga daerah mencatat bilangan kurang dari 1,000 kes bagi tempoh 8 Mei hingga semalam iaitu Kuala Selangor (833), Hulu Selangor (445) dan Sabak Bernam (244).

Bagi tempoh yang sama juga Saringan Komuniti turut diadakan di dua daerah iaitu Hulu Langat dan Gombak di mana 1,171 individu berkemungkinan positif Covid-19 berdasarkan perkongsian Dato’ Menteri Besar di Facebook, semalam.

Jumlah 1,171 kes itu adalah sekitar 15 peratus daripada keseluruhan kes yang direkod bagi kedua-dua daerah iaitu 7,409 kes (Hulu Langat 4,809 & Gombak 2,600) dan 5 peratus daripada keseluruhan kes di Selangor.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari mendedahkan jumlah tersebut hasil saringan di 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Hulu Langat dan Gombak sejak 8 Mei lalu.

“Hingga 20 Mei, hampir 20,000 individu telah menghadiri ujian saringan Covid-19 percuma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Saringan ini dibuat bagi mengesan kes-kes positif bagi mengelak ‘silent carrier’ (pembawa senyap) dan memutuskan rantaian perebakan,” katanya.

Amirudin berkata meskipun saringan percuma menyumbang kepada jumlah kes yang tinggi, namun ia perlu dibuat bagi memastikan individu positif tidak menyebarkan virus tanpa sedar.


Pengarang :