Petugas memberi suntikan kepada salah seorang peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Tanjung Sepat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPKL Banting Baru, Kuala Langat pada 6 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebihan vaksin negeri untuk remaja 18 tahun, kariah masjid

BANTING, 6 OGOS: Lebihan vaksin yang dibeli negeri akan digunakan untuk individu yang bakal menginjak usia 18 tahun pada tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan langkah itu bagi memastikan setiap dos yang diperuntuk kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) habis digunakan.

“Terdapat beberapa DUN yang tidak mencapai kuota ditetapkan iaitu 2,600 dos berikutan ramai penduduk sudah menerima suntikan vaksin menerusi MySejahtera.

“Dos ini disimpan untuk generasi tersebut kerana vaksin ini mempunyai tarikh luput yang panjang,” katanya selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Dewan MPKL Banting Baru di sini hari ini.

Beliau berkata vaksin itu juga akan digunakan untuk 10,000 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) dan ahli jawatankuasa masjid dan surau dalam masa terdekat.

Pada 16 Julai, Amirudin berkata semua warga Selangor yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Maklumat berkaitan program tersebut boleh dicapai dengan melayari laman sesawang vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :