SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 27 keluarga dari Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya yang terkesan akibat banjir bulan lalu dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Bantuan berkenaan bagi meringankan beban mangsa selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan selama beberapa jam, menurut agensi itu.
“Semoga sumbangan ini mampu meringankan beban mereka yang terkesan. Terima kasih pembayar zakat,” kata LZS di Facebook semalam.
Pada 19 September, seramai 48 penduduk daripada 16 keluarga di kampung berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya.
Jumlah itu meningkat kepada 90 mangsa pada keesokannya berikutan limpahan air setinggi satu meter terus berlaku di kawasan kediaman rendah.