Juwairiya Zulkifli (kiri) menyerahkan sumbangan baik pulih MBI kepada SRA Bandar Melawati, Kuala Selangor pada 1 Oktober 2021. Foto ihsan MBI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih RM60,000 bantu dua sekolah baik pulih kemudahan

SHAH ALAM, 2 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI semalam menyumbang RM60,000 kepada dua buah sekolah rendah agama (SRA) di Kuala Selangor.

Bantuan diserahkan wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli kepada SRA Integrasi Bandar Baru dan SRA Bandar Melawati bagi membaik pulih infrastruktur sekolah.

SRA Bandar Melawati menerima sumbangan RM10,000 manakala RM50,000 diserahkan kepada SRA Integrasi Bandar Baru.

Pada 22 September, MBI memaklumkan peruntukan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program bermanfaat sepanjang tahun ini dengan RM20 juta dibelanjakan setakat September.

Antara program dilaksanakan termasuk Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor dan rebat pengangkutan RM20 ke pusat pemberian vaksin.

Pemerbadanan itu juga bakal mengagihkan bantuan sempena program Kembali ke Sekolah hujung tahun ini selain sumbangan sempena sambutan Deepavali dan Hari Natal.


Pengarang :