SHAH ALAM, 13 OKT: Penduduk dewasa Selangor yang belum dihubungi untuk suntikan vaksin Covid-19 boleh mendapatkan janji temu di bilik gerakan vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.
Maklumat dikongsi menerusi Facebook Dato’ Menteri Besar, golongan yang belum disuntik dos kedua atau sebarang dos boleh menghubungi nombor telefon atau emel disenaraikan bagi tujuan berkenaan.
“Segera hubungi talian tertera untuk mendapatkan vaksinasi berdasarkan kawasan kediaman atau berdekatan anda dalam tempoh terdekat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Bilik gerakan vaksinasi beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai 8 pagi ke 6 petang adalah di PKD Petaling, Kuala Langat, Gombak, Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Sabak Bernam.
Program tersebut adalah bagi menbantu golongan berkaitan dalam usaha Kerajaan Negeri mempercepatkan imuniti kelompok.