SHAH ALAM, 18 JAN: Sambutan Thaipusam di Taman Sri Muda di sini tetap dirai mengikut tradisi biarpun penduduk masih trauma dengan banjir besar pada pertengahan Disember lalu.
Tinjauan di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman Seksyen 23 mendapati sekitar 60 penganut Hindu berkunjung ke rumah ibadat itu untuk mengikuti upacara termasuk ‘paal koodam’ atau membawa belanga berisi susu.
Semua pengunjung yang hadir memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang berada di kuil berkenaan.
Mereka yang hadir pula adalah penduduk dari kawasan berhampiran termasuk Taman Sri Muda dan Bukit Kemuning.
Pengerusi Kuil T Sugurthalingam berkata upacara di premis itu berjalan seperti biasa walaupun ada sebahagian kawasannya dinaiki air sehingga merosakkan sebahagian peralatan.
“Kita sudah baiki kawasan itu bagi memberi keselesaan kepada penganut mengikuti upacara Thaipusam.
“Sambutan sederhana dan ikut tatacara operasi piawai untuk elak penularan Covid-19, kuil ini boleh memuatkan 200 orang tetapi kita hadkan untuk ada penjarakan fizikal,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Sugurthalingam, kuil itu turut membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Sri Muda dan kawasan sekitar ketika bencana itu melanda pada 18 Disember lalu.
“Kita sumbang makanan dan barangan seperti pakaian serta selimut untuk keselesaan mangsa. Kuil ini juga menjadi pusat pengumpulan bantuan,” katanya.