SUBANG JAYA, 28 JAN: Program pembangunan usahawan untuk belia, `SAY ASPIRE’ disifatkan sebagai permulaan kepada usahawan tempatan menerokai pasaran global.
Justeru Pengarah Urusan Airaz Technologies Sdn Bhd, pengeluar produk pakaian sukan muslim berkata program seumpama ‘SAY ASPIRE’ perlu dipergiat supaya dapat membimbing usahawan.
“Hari ini kita dapat lihat 10 syarikat berpotensi dikembangkan, namun tiada peluang dan akses untuk menembusi pasaran global. Dengan adanya program ini, ia memudahkan usahawan yang mempunyai idea untuk meningkatkan taraf ekonomi.
“Saya sasarkan produk pakaian sukan ini menembusi pasaran Amerika Syarikat, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu kerana ketiga-tiga negara ini merupakan pintu utama kepada pasaran muslim di seluruh dunia,”kata Azrul Izzam Kamarul Zaman.
Terdahulu, dalam ‘SAY ASPIRE- Pitching Session’, Airaz Technologies Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang utama, sementara pengeluar produk penjagaan kulit bayi, Avantcom International Sdn Bhd tempat kedua manakala Inonity Sdn Bhd, perkhidmatan laman web e-dagang-StoreUp tempat ketiga.
Semua pemenang memenangi tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan.
Pemenang juga mendapat bimbingan khas secara individu untuk membantu usahawan mematerialisasikan impian eksport, peluang imbuhan dan pelaburan perniagaan, rangkaian kolaborasi bersama agensi yang trofi dan sijil serta penginapan di St Regis, Langkawi kepada pemenang tempat pertama.
SAY ASPIRE merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.
Program tersebut merupakan kali ketiga sejak dianjurkan pada 2018 menerusi agensi Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan Raja Muda Selangor.
Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.