BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

3,817 ahli skuad Combi sebar mesej, bantu kawal penularan denggi di Selangor

SHAH ALAM, 19 MAC: Seramai 3,817 sukarelawan ditempatkan dalam skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) bagi mengawal dan mencegah penularan pelbagai penyakit di negeri ini.

EXCO kesihatan awam berkata pasukan bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diletakkan di 464 lokaliti untuk merancang aktiviti mengekang penyakit antaranya demam denggi dan malaria.

“Sukarelawan Combi yang dilantik dalam kalangan komuniti dilatih untuk menyampaikan mesej berkaitan pencegahan dan kawalan demam denggi kepada ahli yang lain.

“Penglibatan komuniti dalam program ini banyak memberi kesan dalam membantu pihak KKM mengawal wabak denggi di Selangor,” kata Dr Siti Mariah Mahmud seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, beliau berkata kes denggi di negeri ini meningkat 1,112 kes atau 35.9 peratus dari minggu sembilan epid 2021 hingga 5 Mac dengan Petaling mencatatkan kumulatif tertinggi iaitu 1,460 kes.

Konsep Combi diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan digunakan beberapa negara untuk mengawal penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

Aktiviti dilaksanakan termasuk lawatan ke rumah bagi  menunjukkan cara melupuskan tempat pembiakan Aedes, membersihkan takungan air dan edaran ubat pembunuh jentik-jentik.

 


Pengarang :