EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berucap dalam sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 18 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PBT disaran laksana pelan mitigasi banjir, bersedia hadapi perubahan iklim

SHAH ALAM, 18 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran menggunakan teknologi yang dirangka sesuai bagi mitigasi banjir pada masa depan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata ketika ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sedang melaksanakan pelan tindakan masing-masing untuk mengatasi bencana.

“MBSJ dalam tindakan pemasangan sistem amaran awal banjir iaitu penambahbaikan sistem pamantauan paras air dan siren di 11 kawasan dengan kos dianggar RM330,000.

“Selain itu pelan tindakan banjir dilaksanakan MBSA untuk sistem saliran perbandaran mampan yang selari dengan pelan tindakan perubahan iklim dengan menekankan komponen tebatan banjir secara struktur.

“Ia akan berjalan dalam tempoh lima tahun untuk mencapai kapasiti sistem saliran bandaraya Shah Alam kepada tahap ketahanan 50 purata selang berselang (ARI) ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Kelmarin, Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei ketika sesi perbahasan mencadangkan supaya pelan tindakan perubahan iklim dilaksanakan di peringkat PBT sebagai penyelesaian jangka pendek dalam mitigasi banjir.

 

 


Pengarang :