SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Selangor meneruskan program Skim Rawatan Jantung tahun ini bagi membantu rakyat memerlukan dengan pembiayaan sehingga RM50,000.
EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata seramai 257 pesakit mendapat manfaat itu sejak dilancarkan pada 2018 membabitkan kos RM4.03 juta.
“Kita setuju untuk meneruskan skim ini kerana memahami kesukaran rakyat terutama berpendapatan rendah dan menengah dalam membiayai kos rawatan jantung yang semakin tinggi,” katanya dalam
wawancara khas bersama Media Selangor baru-baru ini.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta bagi pelaksanaan program berkenaan yang dibiayai bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Skim itu terbuka kepada warganegara Malaysia yang lahir di Selangor atau menetap di negeri ini melebihi 10 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000 sebulan.
Permohonan boleh dibuat melalui Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) yang akan mengeluarkan surat jaminan (GL) sebelum mendapat rawatan di Institusi Jantung Negara.