EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang V Ganabatirau (tengah) menyerahkan bantuan barangan keperluan asas kepada penerima sempena program Jalinan Ukhuwah bersama Golongan Berpendapatan Rendah (B40) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 7 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

50 keluarga B40 dirai berbuka puasa, terima bantuan barangan asas

SHAH ALAM, 7 APRIL: Seramai 50 keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar daerah ini menerima bantuan barangan keperluan asas sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata pek makanan bernilai RM100 memanfaatkan penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning, Kota Anggerik dan Batu Tiga.

Menurut V Ganabatirau sebanyak RM5,000 dibelanja untuk agihan pada majlis berbuka puasa hari ini bertujuan meringankan beban penduduk kurang berkemampuan.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan ini sentiasa berterusan. Ia perlu disemarakkan lagi dengan niat yang ikhlas daripada kita semua untuk membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Jalinan Ukhuwah dan Berbuka Puasa Bersama Golongan B40 di Hotel Mardhiyyah di sini hari ini.

Ganabatirau yang juga wakil rakyat Kota Kemuning berkata program yang memasuki tahun keenam itu menjadi medium terbaik untuk mendekati golongan terbabit.

Menurutnya, acara itu juga mampu mewujudkan hubungan yang harmoni selain mengeratkan hubungan silaturahim antara golongan miskin dan pimpinan setempat.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mendukung sehabis baik program di bawah portfolio saya. Perit jerih dan pengorbanan mereka memastikan program ini berjalan dengan jayanya amat dihargai,” katanya.


Pengarang :