PETALING JAYA, 9 MEI: Rumah terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku tidak akan diadakan, kata wakil rakyatnya.
Lim Yi Wei memaklumkan ia bertujuan mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.
“Walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan endemik, kita tidak akan mengadakan rumah terbuka. Covid-19 masih ada dan kita tidak boleh lalai kerana kesannya berbeza bergantung kepada individu.
“Bagaimanapun, sumbangan dan bantuan kepada masjid dan rumah anak-anak yatim tetap diteruskan,” katanya kepada Selangorkini.
Terdahulu, beliau melancarkan perkhidmatan e-panggilan van melalui aplikasi Kumpool Ride bermula Rabu ini.
Sebanyak 59 laluan disediakan untuk perkhidmatan tersebut merangkumi destinasi ke stesen Transit Aliran Ringan(LRT), masjid, rumah ibadat, restoran dan sekolah.