Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei (dua, kiri) bersama Pengerusi Kumpool, Goh Chun Hean (tiga, kiri) bergambar bersama selepas Sidang Media Kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku di Restoran Station 8, Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kumpool Ride kini di Kampung Tunku, 10,000 perjalanan percuma disedia

PETALING JAYA, 9 MEI: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku kini menyediakan perkhidmatan e-panggilan van melalui aplikasi Kumpool Ride bermula Rabu ini.

Wakil rakyat Lim Yi Wei berkata sebanyak 59 laluan disediakan untuk perkhidmatan tersebut merangkumi destinasi ke stesen Transit Aliran Ringan(LRT), masjid, rumah ibadat, restoran dan sekolah.

“Antara laluan yang memberi manfaat ialah 99 Speedmart di Jalan 22/49 Seksyen 22 kerana dahulu terdapat perkhidmatan bas RapidKL dihentikan disebabkan tidak cukup pemandu.

“Saya berharap pemilihan laluan ini terutama di kawasan komersial dapat merancakkan ekonomi tempatan dan menarik pelanggan serta mengelakkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi pelancaran Kumpool DUN Kampung Tunku di Restoran Station 8 di sini hari ini.

Tambah Yi Wei, pihaknya akan menaja 10,000 perjalanan percuma bagi perkhidmatan tersebut sehingga 11 Julai depan.

“Kita akan keluarkan grafik supaya penduduk terutama warga emas mengetahui perkhidmatan yang disediakan.

“Selain itu, kita juga akan gantung banner dan memaklumkan di media sosial serta persatuan penduduk di aplikasi WhatsApp,” katanya.

Kumpool Ride diperkenal bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir dengan kadar RM1 untuk akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam.

Perkhidmatan itu meliputi lebih 200 hentian antaranya stesen bas dan LRT selain kawasan perumahan yang padat yang boleh dimuat turun di Apple Store atau Google PlayStore.


Pengarang :