Eksekutif Pemasaran Yusa Food Products Sdn Bhd Roslan Sabli menunjukkan produk keluaran syarikatnya ketika menyertai Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) di ST Rosyam Seksyen 9, Shah Alam pada 31 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ekspo Antarabangsa Selangor beri peluang usahawan tarik pelanggan muslim

SHAH ALAM, 31 MEI: Semua produk keluaran syarikat Wonder Gourmet Sdn Bhd mendapat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Justeru pengarahnya berkata pengguna muslim tidak perlu ragu mengenai status halal sos Jepun yang dibekalkan syarikat itu di negara ini.

“Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) makanan dan minuman (F&B) anjuran Invest Selangor memberi peluang untuk usahawan menarik pelanggan muslim.

Pengarah Wonder Gournmet Sdn Bhd Norman Chow. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Pengguna muslim tidak perlu khuatir kerana semua produk kita mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata Norman Chow kepada SelangorKini.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Yusa Food Products Sdn Bhd, Roslan Sabli berkata syarikat tersebut akan membawa beberapa produk termasuk jejari ketam berempah dan kerepek popia rumpai laut ke ekspo makanan anjuran Invest Selangor itu.

“Antara tarikan produk keluaran kita ialah menggunakan resipi khas bagi memastikan rasanya lebih menarik.

“Untuk ekspo pada Oktober ini kita telah bersedia dan akan menawarkan harga menarik kepada pelanggan yang hadir,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pengurusan Kitchen Saver, Nur Harfiza Hashim berkata penganjuran ekspo pada Oktober depan membantu memperkenalkan produknya kepada masyarakat.

“Kita mengeluarkan pelbagai bahan kisar seperti cili, bawang merah, bawang putih dan halia. Produk dihasilkan tidak terlalu halus dan boleh disimpan dalam tempoh setahun.

“Kita bercadang membawa semua produk pada ekspo kali ini supaya mereka lihat sendiri hasil keluaran syarikat bumiputera,” katanya.


Pengarang :