Aksi ‘The Speedy Tigers’ ‘ di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta pada 31 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hoki piala Asia: Malaysia benam Jepun 5-0, mara ke final

JAKARTA, 31 MEI: Malaysia berjaya membenam Jepun 5-0 pada kejohanan Hoki Piala Asia di Stadium Hoki Gelora Bung Karno di sini, sekali gus mengesahkan slot ke final.

Dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak berhati-hati dan berbalas serangan pada aksi hari ini, skuad ‘The Speedy Tigers’ membuka jaringan pada akhir suku pertama, menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-15.

Bermula suku kedua, Malaysia menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan ke arah pintu gol berjaya dicipta, namun dinafikan penjaga gol Jepun Koji Yamasaki.

Malaysia kemudian menggandakan jaringan menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-30 dan satu lagi gol lima minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim.

Skuad kendalian A. Arul Selvaraj tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol keempat menerusi gol padang Muhammad Syafiq Hassan juga pada minit ke-35, sebelum Mohamad Ashran Hamsani menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-42.

Bercakap kepada pemberita selepas aksi itu, kapten Muhamad Marhan Mohd Jalil berkata kejayaan itu terhasil kerana semua pemain telah memberi persembahan terbaik, serta kekal fokus untuk mengelakkan Jepun menjaringkan gol.

“Persediaan untuk perlawanan akhir telah bermula dengan perlawanan hari ini. Esok kita akan beri yang terbaik untuk menang,” katanya.

Arul Selvaraj pula memuji semua pemain ke atas kejayaan untuk menundukkan Jepun, yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018.

“Persiapan untuk setiap perlawanan dilakukan setiap pemain, saya hanya berikan panduan. Saya percaya kalau kita memperkasakan mereka, mereka akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Untuk perlawanan akhir, beliau berkata mereka boleh raikan kejayaan ini sebentar dan turun esok dengan tenang, sabar dan deliver kerana itu peluang terbaik untuk cipta sejarah.

Pada aksi final yang dijadualkan esok, Malaysia bakal bertemu sama ada India atau Korea Selatan yang akan beraksi dalam Super 4 hari ini, manakala Jepun akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

– BERNAMA


Pengarang :