EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bergambar bersama peserta Majlis Suai Kenal dan Jaringan Bersama Alumni AKW di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 28 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 300 peserta Akademi Kepimpinan Wanita dirai, erat hubungan dengan mentor

SHAH ALAM, 28 MEI : Lebih 300 peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) dirai dalam Majlis Suai Kenal dan Jaringan Bersama Alumni AKW di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu, seramai 115 pelajar baharu bagi pengambilan ketiga AKW turut menyertai program tersebut.

“Kita berharap pelajar baharu dan lama ini dapat mewujudkan jaringan sosial antara mereka dan  memantapkan lagi kemahiran masing-masing seiring visi AKW untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita.

“Alumni sebelum ini juga rata-ratanya telah ramai mempunyai NGO (badan bukan kerajaan) sendiri dan terlibat aktif di lapangan. Saya harap menjadi contoh kepada pelajar baharu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis tersebut.

Beliau berkata AKW membantu pelajar melalui proses pembelajaran dan latihan mentorship secara intensif selama 13 bulan yang melibatkan tiga komponen program berbentuk kuliah, mentor-mentee dan kerja lapangan.

“Hasil pembelajaran akan melengkapkan setiap penuntut AKW dengan nilai kepimpinan, kefahaman gender, kemahiran insaniah, kemahiran organisasi dan kepimpinan politik,” katanya.

Mengulas sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam peringkat pembuat keputusan, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri komited ke arah matlamat itu dan program AKW antara insiatif untuk melahirkan golongan berkenaan pada masa depan.


Pengarang :