Khairul Azran Hussin
SHAH ALAM, 26 JUN: Seramai 10,119 peniaga dan penjaja kecil menyertai Platform Selangor (PLATS) untuk meluaskan rangkaian perniagaan setakat 31 Mei tahun ini.
Penyelarasnya Azizul Hussin berkata berdasarkan sambutan menggalakkan itu, pihaknya menyasarkan 20,000 peniaga dan penjaja kecil di negeri ini berubah ke arah jualan digital menjelang hujung tahun.
“Ketika PLATS mula diperkenalkan pada 2020, hanya kira-kira seribu sahaja berdaftar dengan kita, tetapi jumlah ini meningkat setiap tahun. Tahun ini kita sasar 20,000 peniaga dan penjaja kecil mendaftar.
“Semua peniagadan penjaja diajak manfaatkan platform PLATS untuk tingkat hasil jualan,” katanya ketika menjadi tetamu program Borak Santai sempena Jelajah Selangor Penyayang menerusi Selangor TV.
PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.
Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.
Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Rakan Digital Selangor (RDS) dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.