SHAH ALAM, 4 JUN: Sebanyak 118 produk usahawan ditampilkan menerusi Program Jualan Pasaraya Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) Makanan dan Minuman (F&B) di Lulu Hypermarket Setia City Mall dan ST Rosyam Mart Seksyen 9 di sini.
Produk tersebut daripada 25 usahawan yang terlibat dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 anjuran Invest Selangor, menurut ketua pegawai eksekutifnya.
Dato’ Hasan Azhari Idris berkata penganjuran program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha membantu usahawan terlibat dalam ekspo yang akan berlangsung Oktober depan.
“Kita berharap dengan adanya program seperti ini dapat menarik peserta atau usahawan industri kecil dan sederhana untuk turut serta dalam ekspo supaya dapat perluaskan pasaran.
“Setakat ini sambutan diterima menggalakkan dan kita bercadang bekerjasama dengan beberapa pasar raya lain dalam membantu promosi produk usahawan ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Program Jualan Pasaraya berlangsung selama 10 hari sehingga esok membawa pelbagai produk daripada 15 usahawan antaranya bahan masakan kisar seperti cili dan bawang, sambal hijau dan teh herba daun kelapa sawit.
SIBS 2022 menawarkan 850 tapak pameran sepanjang program yang berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Selain SIE F&B, SIBS turut menampilkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.