AGENDANASIONAL

Air Selangor berjaya patuh 99.80 peratus kualiti air minuman KKM

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya mematuhi piawaian 99.80 peratus kualiti air minuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata perkembangan itu didorong kerja pembersihan paip yang dijalankan iaitu sebanyak 9,027 berbanding 8,853 pada tahun sebelumnya.

Menurut Suhaimi Kamaralzaman, pencapaian tersebut juga hasil inisiatif kelestarian yang memberikan dampak positif kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial.

“Kita mempunyai 1,122 stesen pensampelan kualiti air aktif sehingga akhir tahun lalu manakala kekerapan pemantauan dijalankan di stesen adalah mengikut keperluan ditetapkan KKM.

“Sebanyak 251,901 analisis (pensampelan air) turut dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika membentangkan laporan kelestarian Air Selangor 2021 di The Vertical, Bangsar South City hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan meneruskan lebih banyak kerja pembersihan paip supaya 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat bekalan air terawat.

“Kes kebocoran paip dicatatkan tahun lalu adalah 135,413 berbanding 124,614 kes pada 2020. Secara keseluruhan, kita meletakkan paip sepanjang kira-kira 96.8km dalam tempoh tersebut,” katanya.

 


Pengarang :