Keluarga pemain pasukan Selangor FC, Muhammad Husni Idrus melihat album gambar kenangan arwah di kediaman mereka di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 31 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Arwah Muhammad Husni bercita-cita jadi pemain utama Gergasi Merah

GOMBAK, 1 JUN: Pemain Skuad Piala Presiden Selangor FC 2022 yang meninggal dunia minggu lalu memasang impian menjadi pemain utama pasukan Gergasi Merah.

Muhammad Husni selalu mewakili negeri sejak sekolah rendah malah pernah mendapat kepercayaan dalam Piala Sultan Selangor di Singapura pada 2015, menurut abangnya Mohammad Hidayat Idrus.

“Allahyarham juga pernah membawa nama Malaysia dalam Kejohanan Bola Sepak Sekolah Asia di India pada 2017. Adik memang bersungguh dan berusaha ketika perlawanan.

“Pencapaiannya dalam sukan ini bukan hanya membanggakan keluarga malah penduduk kampung serta warga Gombak,” katanya.

Terdahulu keluarga pemain posisi penyerang itu menerima kunjungan daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Mohammad Hidayat menjelaskan punca kematian Allahyarham masih belum diketahui kerana masih menunggu keputusan ujian darah.

Muhammad Husni, 21, ditemukan terbaring berhampiran tandas medan selera di Sunway X Park, Petaling Jaya pada 9.58 malam, 25 Mei lalu.

Sebelum kejadian, pemain penyerang itu beraksi menentang pasukan Johor Darul Ta’zim III di Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Kelana Jaya.


Pengarang :