Penguat kuasa MBSJ dan polis menyerbu premis dandanan rambut yang didakwa menyediakan khidmat tukang gunting wanita berpakaian seksi di Bandar Puteri Puchong, Puchong pada 7 Jun 2022. Foto ihsan Malaysian Voice
PBTSELANGOR

Beroperasi tanpa permit, salun guna pekerja seksi dikompaun

SHAH ALAM, 8 JUN: Sebuah salun dandanan rambut di Bandar Puteri Puchong yang tular selepas didakwa menyediakan khidmat tukang gunting wanita berpakaian mencolok mata dikompaun kerana beroperasi tanpa permit.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata tindakan dibuat dalam operasi bersepadu oleh tiga penguat kuasanya serta empat anggota dari ibu pejabat polis daerah Serdang.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mempunyai lesen sah daripada MBSJ.

“Sehubungan itu, MBSJ mengeluarkan dua notis tawaran kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3: UUK Pusat Kecantikan (MPSJ) 2013 atas kesalahan mengendalikan pusat kecantikan dan kesihatan tanpa lesen serta dua UUK 7: UUK Iklan (MPSJ) 2007 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Beliau berkata pemantauan berkala akan dijalankan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak atau premis yang didapati melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.

“Sebarang aduan atau permasalahan boleh terus melaporkan melalui aplikasi aduan awam MBSJ atau Pusat Panggilan Kawalan MBSJ di talian 03-80247700,” katanya.

Sejak kelmarin, tular di media sosial beberapa foto memaparkan wanita berpakaian seksi mendandan rambut pelanggan lelaki di premis terbabit.

Pemilik premis menerusi kenyataan di laman Facebook memuat naik satu laporan polis mendakwa terdapat individu menyalahgunakan gambar model mereka semasa majlis pembukaan salun itu.


Pengarang :