Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari bercakap kepada media ketika Majlis Pelancaran Selangor Public Health Advisory Council (Selphac) dan Apresiasi Petugas Barisan Hadapan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 7 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bon Odori: Selangor rujuk pihak berkuasa, kedutaan Jepun

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Negeri akan merujuk pihak berkuasa termasuk kedutaan Jepun dan pengkaji bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung penganjuran festival Bon Odori yang dikaitkan dengan unsur keagamaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum ini tidak timbul sebarang isu berkaitan perkara tersebut, sebaliknya menganggap ia sebagai acara kebudayaan.

Beliau turut difahamkan festival berkenaan bagi mengeratkan hubungan sesama individu dan syarikat yang menjalin kerjasama dengan negara matahari terbit selaras dasar pandang ke timur.

“Hal ini hampir sama sebagaimana perayaan Ponggal iaitu untuk meraikan kegembiraan mereka. Jadi saya tidak pasti (Bon Odori) ada elemen keagamaan atau sebaliknya.

“Kita kena dapatkan maklumat daripada badan pengkaji dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Kita perasan berhubung perkara ini beberapa hari lepas dalam Wikipedia, malah sebelum ini tidak timbul isu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kedutaan Jepun akan memberi maklum balas selepas perbincangan itu berikutan acara berkenaan dianjurkan setiap tahun.

“Kita meraikan dengan memberi ruang kepada agama lain untuk menyambut perayaan. Kita tidak menghalang dan bantu dari segi kos jika nasihat itu jitu,” katanya.

Semalam, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengingatkan umat Islam tidak menyertai program yang bertentangan dengan hukum syarak termasuk festival Bon Odori pada 16 Julai ini.

Datuk Idris Ahmad memaklumkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan program itu mempunyai unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.


Pengarang :