Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali berucap pada Majlis Pelancaran Skim Rebat Cukai Taksiran Rumah Mesra Alam Hijau Petaling Jaya Tahun 2022 dan Aplikasi MBPJ e-Rebat di Ibu Pejabat MBPJ pada 3 Jun 2022. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBTSELANGOR

Elak undang bahaya, MBPJ teliti isu ubah suai kediaman tanpa kebenaran

PETALING JAYA, 3 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan meneliti semula isu ubah suai kediaman tanpa kebenaran yang menimbulkan kacau ganggu kepada penghuni lain.

Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan, apatah lagi ia boleh menjejaskan keselamatan orang sekeliling.

“Binaan tambahan dan struktur yang dibina ini boleh dirobohkan sekiranya tiada kelulusan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar.

“Kita akan meneliti isu ini bukan sahaja melibatkan kediaman jenis pangsapuri sebaliknya turut diberi perhatian ialah rumah teres sekitar Petaling Jaya,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Skim Rebat Cukai Taksiran Rumah Mesra Alam Hijau Petaling Jaya Tahun 2022 dan Aplikasi MBPJ e-Rebat di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Sharipah berpendapat tambahan struktur kediaman itu mungkin disebabkan penduduk mempunyai ahli keluarga yang ramai, namun keselamatan dan kesan jangka panjang perlu dititikberatkan.

Jelasnya lagi, sebarang kerja pembinaan untuk mengubah suai dan menambah struktur perlu mendapat kelulusan secara bertulis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“PBT bertanggungjawab daripada segi keselamatan terutama jika berlaku musibah seperti kebakaran atau banjir yang berpunca daripada ubah suai kediaman tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan ubah suai melampau di salah sebuah pangsapuri di Taman Dato’ Harun di sini hingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Berdasarkan gambar tersebut, ubah suai bukan hanya melibatkan rumah aras bawah sebaliknya turut dilakukan oleh penghuni di tingkat satu.


Pengarang :