Orang ramai membeli barang keperluan asas untuk persiapan perayaan Aidilfitri sempena Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN bantah idea laksana semula GST, rakyat masih terkesan pandemik

SHAH ALAM, 1 JUN: Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksana semula sistem percukaian GST.

Majlis Presiden HARAPAN berkata dalam keadaan inflasi semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika
ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji tidak meningkat, rakyat menerima tekanan yang amat dahsyat.

“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme,” menurut kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu, adalah tidak munasabah kerajaan bercadang mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan tabdir urus berjaya dilaksana.

“Persepsi tatakelola serta tadbir urus kerajaan belum pulih akibat skandal 1MDB, tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 indeks persepsi rasuah antarabangsa serta kedudukan kedua indeks kapitalisme kroni The Economist,” katanya.

HARAPAN turut mengingatkan perdana menteri majoriti rakyat Malaysia menolak GST dalam pilihan raya umum lalu.


Pengarang :