Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Padah buang sampah haram, seorang lelaki didakwa di mahkamah

SHAH ALAM, 1 JUN : Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat dekat sini hari ini atas kesalahan melakukan aktiviti pembuangan sampah secara haram.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerusi Facebook memaklumkan Majistret Tuan Khairul Farhi Yusob menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau sebulan penjara ke atas suspek berusia 30an yang melakukan perbuatan itu di kawasan Telok Panglima Garang.

“Lelaki ini didakwa mengikut Kesalahan UUK 4, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007.

“MPKL turut menyita sebuah eskavator model Sany SY215C berikutan kesalahan yang telah dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim menegaskan pihaknya tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan pembuangan sampah haram di kawasan tersebut.

“Aktiviti ini hanya akan menimbulkan kesan pencemaran sekali gus menjejaskan kesihatan orang awam. Justeru, penduduk Kuala Langat dinasihatkan menjaga kebersihan persekitaran,” katanya.

Orang ramai yang melihat aktiviti pembuangan sampah haram boleh membuat laporan kepada MPKL melalui talian 03-3187 2825 atau 03-3187 2732.


Pengarang :