Orang ramai tertarik melihat dron hybrid F16 yang dipamerkan di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak disleksia minat membaca, tidak sabar kunjungi pesta buku

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Meskipun menghidap disleksia ia tidak menghalang minat seorang kanak-kanak, Mohammad Adeeb, 10, untuk membaca pelbagai jenis buku.

Bapanya, Mohd Afzan Sulaiman, 36, berkata anaknya itu seolah-olah tidak sabar untuk berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL 2022).

Mohd Afzan Sulaiman

“Hampir setiap hari dia tanya mengenai pesta buku ini bila diadakan kerana tidak sabar untuk ke sini, walaupun dia alami disleksia dia memang suka membaca buku seperti komik atau buku berunsurkan fiksyen.

“Hari ini saya bawa dia dan dua adiknya serta isteri ke pesta buku untuk membeli buku-buku kegemaran mereka. Jualan di sini lebih murah dan banyak pilihan kita boleh terus beli buat koleksi,” katanya.

Noorhidayah Misran

Manakala Noorhidayah Misran, 45, berkata selain mahu membeli buku dia turut membawa anaknya ke Pavilion Selangor untuk melihat kursus dron yang ditawarkan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

“Anak sulung baharu sahaja tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), jadi ambil peluang ke sini untuk tanyakan mengenai kursus ditawarkan di STDC terutama melibatkan kendalian dron.

“Minatnya memang menjurus ke arah teknologi dan kejuruteraan, insya-Allah jika berpeluang mahu dia menyambung pengajian di STDC,” katanya yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur.

Divya Bharthi

Pelajar kolej swasta, Divya Bharthi, 20, mengakui PBAKL amat bagus dan patut kerap diadakan kerana ia memudahkan peminat buku mencari bahan bacaan hanya di satu lubuk.

“Hari ini saya banyak mencari buku berunsurkan undang-undang kerana saya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan. Banyak lagi gerai yang belum dikunjungi, ia amat luas dan seronok,” katanya.

PBAKL 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :