Editor Dewan Sastera, Fadli Al-Akiti berkongsi pandangan ketika Program Hati Dan Minda Sasterawan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 3 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kembalikan mata pelajaran kesusasteraan, martabat industri sastera

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Mata pelajaran kesusasteraan melayu perlu diterapkan pada peringkat sekolah demi memartabatkan industri sastera.

Editor Dewan Sastera Fadhli Al-Akiti berkata pihaknya melihat industri tersebut tidak dibangunkan dan kemungkinan dihentikan di beberapa sekolah.

“Guru besar dan pengetua perlu mencari jalan mengadakan semula subjek kesusasteraan Melayu dan ia langkah mudah dalam membangunkan semula industri sastera.

“Lebih baik dimulakan semula kerana penghayatan sastera dalam subjek kesusasteraan Melayu itu sendiri berbeza jika belajar sendiri,” katanya dalam program Hati dan Minda Sasterawan di  Pavilion Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Pavilion Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat insentif negeri bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 19 agensi terlibat seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Invest Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Tourism Selangor.

Turut dianjurkan acara Hati dan Minda Sasterawan menampilkan beberapa sasterawan antaranya Prof Emeritus Dr Muhamad Haji Saleh, Fadli Al-Akiti serta Helmy Samad, anak Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said.

PBAKL 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tertangguh akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :