Pengunjung memilih buku ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 3 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pavilion Selangor platform Padat promosi perkhidmatan, buku sejarah warisan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) mengambil peluang penyertaan di Pavilion Selangor menerusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 untuk mempromosikan perkhidmatan termasuk buku baharu berkaitan koleksi warisan negeri.

Pegawai Penerangannya Farhani Shamsudin berkata antara buku bakal diperkenalkan berkaitan penyelidikan terkini warisan Acheh di Selangor, permainan wau kapal, kebaya dan tarian piring.

“Menerusi acara ini kita mahu mempromosi warisan di Selangor yang tidak didedahkan dan buku-buku ini dijangka dirasmi pada Ogos nanti.

Farhani Shamsudin. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bukan itu sahaja, kita juga memperkenalkan aplikasi Sistem Inventori Bersepadu Padat (PIIS) yang merupakan katalog koleksi warisan. Penggunaannya dapat membantu mempercepatkan proses pencarian dan urusan melihat artifak,” katanya.

Selain itu, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang mengikuti acara berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur turut mempromosi kursus ditawarkan institusi pendidikan itu.

Ketua Unit Pemasarannya Mohd Zuzaily Zulkufele berkata STDC menawarkan 10 kursus pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan pengajian dron separuh masa untuk syarikat.

Mohd Zuzaily Zulkufele. Foto FIKRI YUSOF/SELANGPRKINI

“Ramai orang tidak tahu bahawa terdapat institusi pendidikan menawarkan TVET di bawah Kerajaan Negeri termasuk yang baharu di Seksyen 7 menawarkan kos profesional.

“Malah, kita juga membawa dron untuk pertanian kepada pengunjung di pesta buku untuk melihat sendiri kemudahan tersebut,” katanya.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Antara agensi terlibat ialah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Invest Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Tourism Selangor.


Pengarang :