Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kesedaran meningkat, makin ramai belia sertai Selangor Saring

AMPANG, 11 JUN: Semakin ramai belia menyertai program pemeriksaan kesihatan percuma menerusi Selangor Saring, menurut ahli penasihat Kesihatan Awam Selangor.

Dr Mohammad Farhan Rusli berkata perkembangan dilihat berikutan kesedaran kian meningkat apabila majoriti individu yang hadir berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Selain warga emas, kita lihat golongan muda remaja turut mengambil peluang menyertai program Selangor Saring ini sejak ia mula dilancarkan pada Mei lalu.

“Kita harap lebih ramai warga muda hadir untuk saring kesihatan mereka kerana apa yang ditawarkan Kerajaan Selangor ini amat menguntungkan dan percuma sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan DUN Lembah Jaya di Dewan Lembah Jaya dekat sini hari ini.

Menurutnya, kira-kira 77 individu hadir setakat jam 12 tengah hari tadi bagi mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan itu.

“Kita jangka lebih ramai yang akan hadir pada sebelah petang nanti memandangkan hari ini cuti dan mungkin mereka ambil keputusan untuk berehat dahulu pada sebelah pagi,” katanya.

Mengulas jumlah keseluruhan individu sertai Selangor Saring, Dr Farhan berkata hampir mencecah 1,000 penyertaan diterima sejak program itu dilancar 22 Mei lalu.

“Kita sudah anjurkan di lapan DUN dan berbaki lagi 48 DUN, kita jangka lebih ramai lagi individu menyertai program ini sehingga September nanti atau mungkin lebih daripada sasaran,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, masalah obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula pada 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :