BUDAYARENCANA

Lapis-lapis tanah

Oleh Haizir Othman

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Masuk hari ketiga menggali, tapak tanganku mula melepuh. Mata cangkul mulai tumpul selain sering tertanggal dari batangnya. Pada kedalaman ini, tanah sudah bercampur batu merah selain kadangkala besi berwarna perak kehitam-hitaman. Aku perlu mencungkil keluar ketul-ketul batu dan besi ini sebelum boleh menggali semula. Kerja yang ripuh. Tapi ketul-ketul tersebut meninggalkan ruang-ruang besar di dalam tanah yang menjimatkan masa dan tenagaku menggali. Namun jika diberikan pilihan, aku lebih gemar berasa penat memecahkan tanah daripada mencungkil batu dan besi.

Enam kaki di bawah tanah adalah kedalaman jenazah disemadikan. Aku mahu menggali lebih dalam sehingga tak ternampak cahaya matahari lagi. Biar gelap-gelemat dan berbahang di bawah sini, begitu lebih menyeksakan. Namun mata cangkulku tak dapat bertahan. Masuk hari ketujuh, ia patah dua selepas penat berperang dengan batu dan besi.

Aku terduduk kelelahan sebelum memeriksa keadaan. Urat-urat kayu dari batang cangkul telah mengoyakkan kulit tapak tanganku. Kini tanah, batu dan besi bergabung membutakan mata cangkulku pula.

Aku nekad meneruskan penggalian dengan tangan kosong. Peluh mencurah dari dahi, pelipis, badan, bahu dan lengan, membasahi dan melicinkan tangan. Namun aku tak berhenti sehingga hari gelap. Aku bersandar sebelum meletakkan kepala di atas mata cangkul yang ditelangkupkan seraya memandang langit yang jauh.

Tanganku meraba-raba tanah. Jariku merasai satu benda kecil lembut dan sejuk berkutik-kutik berhampiran pinggangku. Aku tarik ia keluar dan letakkan di atas dada. Cacing yang tak kuketahui namanya. Buat kali pertama sejak sekian lama, aku berasa ditemani.

“Terima kasih, cacing. Kau mungkin kecil. Tapi kau telah melenyapkan kesunyianku yang besar.”

Aku bangun dari pembaringan dan duduk bersila untuk melihat sahabat baruku berdenyut-denyut di atas tapak tangan. Barangkali dia berasa asing tak berada di persekitaran biasa. Lalu kuturunkan semula dia ke tanah perlahan-lahan dengan niat tak mencederakan tubuhnya yang lembut seperti jeli itu.

“Mengapa mahu menghapus sunyi dengan turun ke sini? Bukankah di sini kesunyiannya jauh lebih sakit?”

Ah, urat-urat sarafku barangkali telah putus semua kerana terlalu kuat bekerja sehingga hilang kewarasan; sehingga membolehkan aku mendengar suara cacing. Dari kelembutan tubuhnya, aku mahu mengagak dia adalah cacing betina. Aku namakan dia Jacinta.

“Jacinta, bahkan kesunyianlah yang kucari-cari selama ini. Namun itu tak bermakna apabila ada yang mahu menemani, ia sama sekali tak kuhargai. Terima kasih atas kehadiranmu, Cin! Aku tetap memerlukan teman sekali-sekala di sisi bagi meneruskan kewarasanku.”

“Atau sebenarnya kewarasanmu sudah hilang kerana tersilap memilih parasit sebagai teman berbanding manusia? Jangan jadikan kami tempat kau berlepas diri dari masalah!”

Ha! Ha! Ha! Celakanya! Aku tak mahu bergaduh dengan seekor cacing tanah lewat malam begini dalam lubang yang kugali sendiri. Tapi Jacinta amat mengingatkan aku kepada bekas teman wanitaku yang memakai nama panggilan yang sama. Mereka berdua amat mirip. Terutama pada nada suara yang menyebutkan perkataan ‘masalah’ tadi.

“Ya, ya, ya! Begitu agaknya. Kewarasanku habis. Lalu aku turun ke mari seperti jasad orang mati. Langsung bertemumu. Membuat aku seperti hidup semula. Tapi tolong jangan berdebat perdana denganku, Cin! Aku tak mahu mengulang perbuatan sia-sia manusia-manusia bermuka ganda seperti itu.”

Khali seketika. Tiba-tiba langit gelap dilitupi awan tebal yang barangkali datang mahu mencuri dengar perbualan kami.

“Kau mangsa keganasan domestik lantaran diseksa teman wanita? Nadamu seperti orang putus asa. Kehilangan perjuangan. Seperti orang tewas dalam hidup. Seperti lelaki impoten kehabisan afrodisiak. Di sini tiada tongkat ali untuk merawat disfungsi erektilmu.”

Celaka. Jacinta sudah melampau. Seperti Jacinta bekas teman wanitaku, dia menyakiti dengan sungguh-sungguh. Tubuh fizikalku sudah cedera akibat menggali tanah tak henti-henti sejak lebih sepuluh hari lalu. Aku tak tahan dilukakan mental dan emosi pula dengan sebatan kata-katanya yang seperti cemeti itu.

Dari atas tanah, aku kutip tubuh jeli Jacinta sebelum memicit-micit perutnya. Jacinta mengaduh kesakitan dengan suara nyaringnya yang halus. Aku mahu memutuskan tubuhnya kerana tak dapat mematahkan hujahnya yang benar semua, namun fikiranku berubah. Aku hanya mencampakkannya kembali ke tanah, menimbuskannya tak begitu dalam, sebelum membetulkan mata cangkul untuk dijadikan bantal tidurku.

Menyedari perbualan kami sudah berakhir, di atas sana awan hitam perlahan-lahan beredar dan langit kembali berbulan dan berbintang.

Keesokannya, aku meneruskan penggalian dengan menggunakan mata cangkul patah. Mendongak, langit kelihatan semakin jauh. Aku mungkin sudah mencapai kedalaman lebih sepuluh kaki di bawah sini, berdasarkan perbandingan ukuran tinggi tubuhku dengan puncak tanah di atas sana.

Lebihan tanah yang kugali sebahagiannya kukumpulkan di tepi sebelum dibentukkan sebagai tangga demi memanjat ke puncak membuang sebahagian lebihan yang lain. Lama-kelamaan, tangga jadi semakin besar dan lubang jadi semakin sempit. Aku harus menggali ke sisi pula – memecahkan dinding demi sedikit ruang untuk memuatkan tubuhku.

Kedua tapak tanganku yang melepuh, meletus pecah lalu berdarah. Namun ia tak lebih sakit daripada didera bertahun-tahun wanita paling disayangi, yang tumbuh menjadi sebahagian diriku sendiri menjalani kehidupan sebagai manusia.

Ingatan terhadap kesakitan itu mendorongku menggali lebih dalam, biar darahku sudah bercampur dengan tanah. Aku tak tahu sedalam mana lagi harus kugali, tapi berada sejauh-jauhnya dari peradaban adalah kemuncak kemahuanku pada ketika ini.

Namun jauh di dalam sana diam-diam satu perasaan tumbuh dan berkembang perlahan-lahan. Semakin jauh kugali, ia kian mengambil ruang dalam diri, sedikit demi sedikit memakan dan merongrong batinku. Aku berasa seperti akan menemui sesuatu yang baru. Sama ada ia seksaan yang lain dengan sensasi berbeza atau apa, aku kurang periksa.

Tapi malam ini. Di lapisan kedalaman tanah yang seterusnya. Aku ingin bertemu Jacinta.


Pengarang :