Kawasan Tasik Air Hitam di Bandar Mahkota Cheras yang dipenuhi sampah. Foto Hee Loy Sian
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Luas buka kertas siasatan, MPKj sita kawasan Tasik Air Hitam

SHAH ALAM, 7 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sudah membuka kertas siasatan berhubung kegiatan pembuangan sampah secara haram di Tasik Air Hitam di Cheras.

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen Luas 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun.

“Pada 31 Mei lalu LUAS menyertai operasi bersepadu diketuai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan ia turut disertai Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat.

“Dalam operasi itu mendapati kawasan tasik berkenaan dipenuhi sampah sarap dan bahan larut lesap kehitaman.

“Lokasi tasik itu terletak kira-kira tiga kilometer dari Sungai Perimbun dan 6.5 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11, namun hasil ujian sampel yang diambil menunjukkan tiada gangguan kepada operasi LRA terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata MPKj menyita kawasan itu dan notis pemberhentian aktiviti kerja dikeluarkan kepada pemiliknya selepas maklumat status tanah diterima daripada PDT Hulu Langat.

Katanya, PDT Hulu Langat turut mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah bagi arahan pemulihan segera tanah.

Loy Sian berkata, kerja membaik pulih ban yang pecah akibat hujan lebat juga sedang dijalankan bagi mengelak bahan larut lesap mengalir ke sungai berhampiran.

Minggu lalu, MPKj dilaporkan menutup laluan masuk ke sebuah tasik bekas kuari berdekatan Seksyen 5 Bandar Mahkota Cheras yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

Menurut MPKj aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan itu dikesan sejak Disember tahun lalu namun ia memburuk dua bulan kebelakangan ini.


Pengarang :