KAJANG, 24 JUN: Dato’ Menteri Besar menyerahkan kunci Rumah Idaman Abadi Kajang 2, Semenyih kepada 10 pembeli hari ini.
Serahan kunci secara simbolik dibuat Dato’ Seri Amirudin Shari kepada mereka iaitu sebahagian daripada 2,059 pembeli unit rumah idaman terletak di Persiaran Tropicana Heights dekat sini.
“Tahniah diucapkan kepada pemilik rumah idaman yang menerima kunci dan berharap mereka dapat mengharungi kehidupan selesa serta sempurna.
“Saya juga berharap unit kontra atau percuma diserahkan kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dapat diurus sebaik-baiknya,” katanya dalam ucapan sempena penyerahan kunci rumah berkenaan.
Dalam majlis sama, Amirudin turut melakukan simbolik penyerahan 70 unit Rumah Idaman oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada LPHS secara percuma sebagai kontra ke atas pengecualian pindaan Rumah Selangorku kepada Rumah Idaman.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/06/PSX_20220624_175449-500x333.jpg)
Beliau berkata fasa pertama projek dibangunkan PNSB membabitkan 1,355 unit selesai dibina awal Jun ini lengkap dengan perakuan siap (CCC).
Menurutnya, fasa kedua membabitkan 704 unit pula dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, kolam renang dan taman permainan.
Ditawarkan pada harga RM250,000, Rumah Idaman dengan keluasan 92.9 meter per segi di lokasi strategik turut dilengkapi kemudahan lain antaranya sekolah, hospital serta akses jalan.
Setiap unit mempunyai dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, pemanas air di dua bilik air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian.