PBTSELANGOR

MPK: Lapor pihak berkuasa jika wujud rasuah untuk permit ubah suai rumah

SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengalu-alukan individu yang mendakwa terdapat unsur rasuah dalam pemberian permit ubah suai rumah jirannya hingga menyebabkan kerosakan pada rumah individu terbabit supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata susulan dakwaan rasuah tersebut yang tular menerusi media sosial, pihaknya mengalu-alukan individu berkenaan membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dilakukan ke atas mana-mana kakitangan disyaki.

“MPK menjunjung tinggi prinsip ketelusan dan integriti serta tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz

Mengulas lanjut mengenai kes itu, Norfiza berkata permit ubah suai dan pelan lulus didapati telah dikeluarkan kepada perunding pada 2012 dan ubah suai rumah tersebut juga telah mendapat persetujuan jiran.

Beliau berkata aduan yang dikemukakan oleh pengadu selepas kelulusan diberi juga telah diambil tindakan oleh pihak MPK.

“Sebelum ini perunding juga telah dilantik bagi mengenal pasti punca keretakan dan perakuan kekukuhan struktur tambahan rumah tersebut,” katanya.

Menurut Norfiza, MPK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap pengurusan tertinggi dan pegawai serta kakitangan MPK terutama tuduhan yang dikaitkan dengan rasuah atau salah laku moral yang lain.

Terdahulu, tular menerusi aplikasi TikTok mengenai seorang pemilik akaun itu mendakwa rumahnya rosak akibat kelulusan yang diberikan MPK kepada jirannya untuk mengubah suai rumah.

– BERNAMA


Pengarang :