Orang ramai tertarik melihat dron hybrid F16 yang dipamerkan di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

PBAKL: MB ucap tahniah Pavilion Selangor berjaya tarik ribuan pengunjung

SHAH ALAM, 10 JUN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada Pavilion Selangor yang menerima 10,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sambutan menggalakkan itu memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat mengenai inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri.

“Tahniah Pavilion Selangor di PBAKL 2022 yang menerima sambutan amat mengalakkan sehingga 10,000 pengunjung setakat hari ketiga penganjuran. Ini peluang mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif Kerajaan Negeri,” katanya di Facebook.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) adalah ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 19 agensi terlibat antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Tourism Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM), Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor.

Turut terbabit agensi seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Yayasan Selangor, Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

PBAKL 2022 diadakan sejak 3 Jun lalu akan berakhir Ahad ini, selepas penganjurannya tertangguh dua tahun akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :