(Hiasan) Anak kepada seorang ahli politik di Sabah dihukum penjara 12 bulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah menjual seutas jam tangan mewah yang dicuri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anak ahli politik dipenjara 12 bulan jual jam tangan curi

SHAH ALAM, 15 JULAI: Anak kepada seorang ahli politik di Sabah semalam dihukum penjara 12 bulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah menjual seutas jam tangan mewah yang dicuri.

Tertuduh Datu Anwar Datu Amirkahar, 43, yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu juga berdepan tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Datu Anwar didakwa dengan sengaja melupuskan seutas jam tangan Rolex White milik ibunya di sebuah kedai di Sinsuran, di sini, jam 2.30 petang, pada 29 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga ibu tertuduh mendakwa barang yang diletakkan di dalam peti besi rumahnya di Sutera Residency, hilang ketika diperiksanya pada jam 6 petang, 3 Jun lalu.

Berikutan itu, siasatan lanjut dilakukan dan tertuduh dipercayai sudah menjual jam tangan berkenaan di sebuah kedai emas di Sinsuran pada harga RM9,000.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pengarang :