Pustaka Raja Tun Uda di Seksyen 13, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

65 perpustakaan negeri dinaik taraf, beri keselesaan pengunjung

PETALING JAYA, 15 JULAI: Sebanyak 65 daripada 104 perpustakaan awam seluruh Selangor selesai dinaik taraf sejak 2016 sehingga tahun lalu, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Datin Paduka Mastura Muhamad berkata penambahbaikan demi keselesaan pengunjung dilaksana kontraktor lantikan PPAS termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Kos menaik taraf bawah RM200,000 dilakukan PPAS sendiri melalui arkitek dan jurutera yang dilantik, manakala lebih daripada jumlah itu di bawah tanggungjawab JKR.

“Kita tambah baik dari segi kemudahan seperti membina pantri di perpustakaan. Malah, kakitangan turut menginfaq perkakas misalnya peti ais dan periuk nasi untuk ditempatkan di setiap perpustakaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam sempena sambutan Jubli Emas PPAS dan pemukiman sasterawan di Hotel Le’Meridien di sini malam tadi yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengulas acara makan malam, Mastura berkata ia bagi meraikan genap lima dekad penubuhan PPAS yang sepatutnya disambut pada 2021, namun tertangguh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menghargai sasterawan tanah air.

“Tempoh 50 tahun adalah satu jangka masa yang panjang bagi perpustakaan dan PPAS melalui pimpinan tiga pengarah dengan dua daripada mereka sudah kembali ke rahmatullah.

“Meneruskan legasi perpustakaan adalah tanggungjawab mencabar tetapi amat mengujakan. Bermula daripada 86 perpustakaan, kini perlu mengurus 104 perpustakaan, namun saya bersyukur dikurniakan pasukan dinamik,” katanya.

Untuk rekod, 71 daripada 104 perpustakaan di negeri ini merupakan perpustakaan desa, perpustakaan pekan (12), perpustakaan bergerak (sembilan), perpustakaan daerah (tujuh), perpustakaan cawangan (empat) dan perpustakaan negeri (satu).

 


Pengarang :