Penyanyi Aweera membuat persembahan ketika menyertai rancangan Gegar Vaganza di Astro pada 17 Januari 2022. Foto Instagram Aweera
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Artis rock 90-an, Aweera meriahkan Jelajah Selangor Penyayang 31 Julai

SHAH ALAM, 27 JULAI: Empat ahli kumpulan rock yang menempa nama sekitar 1990-an bakal menghiburkan orang ramai sempena karnival Jelajah Selangor Penyayang di Gombak, Ahad ini.

Mereka ialah Shafie dari kumpulan Rio, Wom dari UG14, Aan (Ways) dan Ejay (Samudera) akan menemui pengunjung dalam program anjuran negeri di Padang Awam Batu Caves.

Acara hiburan yang dijadual berlangsung tengah hari turut dimeriahkan dengan persembahan Aweera yang popular dengan lagu Andai Ku Bercinta Lagi, Romancinta dan Terhakis.

Dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, program bermula 8 pagi turut diserikan dengan pertandingan futsal, sukan rakyat, pameran dan jualan.

Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor dan Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Pengarang :