ALOR SETAR, 11 JULAI: Seorang bayi perempuan berusia 47 hari yang terperangkap dalam kereta Perodua Viva di kawasan Alor Merah di sini, petang tadi berjaya diselamatkan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.21 petang, lapor portal Berita Harian.
“Sepasukan anggota dari BBP Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Rusdi Lazim membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan bayi perempuan berkenaan.
“Bomba mengambil masa hampir lima minit untuk mengeluarkan bayi. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.43 petang,” katanya.