Petugas ibadah korban memotong daging lembu untuk diagihkan kepada penduduk sekitar sempena Aidiladha di Stelvio Bukit Antarabangsa, Ampang pada 20 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: SOP ibadah korban lebih longgar, individu bergejala dilarang hadir

SHAH ALAM, 4 JULAI: Penyembelihan korban di negeri ini bakal dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) seperti sebelum pandemik Covid-19, kata EXCO hal ehwal agama Islam.

Bagaimanapun, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata individu yang kurang sihat atau bergejala dilarang hadir ke lokasi ibadah korban.

“SOP ibadah korban kembali seperti biasa iaitu sebelum pandemik melanda negara.

“Namun, saya ingin mengingatkan mereka yang tidak sihat, sakit atau ada gejala supaya tidak hadir ke lokasi korban,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di sini hari ini.

Seminar itu disertai kira-kira 450 individu dari empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

Mengenai seminar itu, Mohd Zawawi memaklumkan ia bertujuan memberi pendedahan mengenai kemahiran mengendalikan penyembelihan haiwan korban mengikut ketetapan syarak, selain ihsan kepada haiwan.

“Di sebalik aktiviti korban yang hebat dengan fadhilat terdapat beberapa maqasid ataupun objektifnya iaitu mengasah ketajaman pengurusan sistem yang mapan melibatkan kelestarian kewangan, tenaga manusia, alam sekitar dan keselamatan makanan.

“Selain itu, ia membina ketelitian dalam isu halalan toyyiban makanan yang menjadi sumber rezeki rohani dan jasmani, memupuk hubungan kerjasama dan kasih sayang sesama umat Islam serta melatih pengurusan haiwan yang dijadikan bahan korban dengan ihsan dan penuh rahmat,” katanya.


Pengarang :