Gambar arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Harga rumah dijangka naik lebih 11 peratus dalam tempoh 12 bulan

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Pasaran hartanah kediaman dijangka meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang mendorong harga dan sewa turut naik dengan ketara, menurut Indeks dan Kaji Selidik Hartanah Suku Ketiga 2022 yang dikeluarkan oleh Juwai IQI Malaysia.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata tinjauan dalam kalangan ejen hartanah di seluruh negara menjangkakan pertumbuhan harga kediaman yang ketara dalam tempoh 24 bulan akan datang.

“Ejen-ejen berkenaan percaya harga kediaman akan meningkat di seluruh negara sebanyak 11.8 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang. Pertumbuhan akan berlanjutan pada tahun berikutnya dengan harga mencapai 16.5 peratus lebih tinggi dalam tempoh 24 bulan akan datang,” katanya.

Menurut Kashif ejen-ejen tersebut yakin dengan perkembangan positif pasaran hartanah kediaman tersebut kerana mereka bersikap optimistik terhadap ekonomi.

“Kira-kira 45 peratus ejen percaya ekonomi akan menjadi lebih kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

Menurut tinjauan itu, ejen mengunjurkan harga kediaman di Pulau Pinang akan menyaksikan pertumbuhan 17 peratus dalam tempoh dua tahun, Johor (18.1 peratus), Kuala Lumpur dan Selangor (15.9 peratus) dan Sabah (14.7 peratus).

“Kami telah menjalankan Indeks dan Kaji Selidik Hartanah Juwai IQI sejak 2019 dan angka-angka ini membentuk unjuran pertumbuhan harga kediaman paling kukuh yang belum kami rekodkan.

“Jangkaan telah berubah dengan ketara sejak suku ketiga 2021. Ejen mengunjurkan penurunan lima peratus pada harga rumah kediaman dan perkembangan terkini menunjukkan jangkaan itu adalah hampir tepat,” kata Kashif. – BERNAMA


Pengarang :