AGENDANASIONAL

Tiga daerah di Selangor, KL dijangka hujan lebat hingga 7 malam

SHAH ALAM, 19 JULAI: Tiga daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang hingga jam 7 malam ini.

Amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) itu turut membabitkan Kuala Lumpur, seluruh Pulau Pinang dan Perak; Tanah Tinggi Cameron, Raub dan Bentong di Pahang; Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai di Kelantan serta Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.

Menurut MetMalaysia amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :