AGENDANASIONAL

Hujan lebat dijangka landa lima daerah di Selangor, KL hingga jam 4 petang

SHAH ALAM, 31 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir bagi lima daerah di Selangor serta Kuala Lumpur hingga jam 4 petang ini.

Lima daerah terbabit adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

Amaran sama turut membabitkan beberapa kawasan di Pahang iaitu Bentong, Bera dan Rompin, selain Jelebu serta Jempol di Negeri Sembilan.

Kawasan lain adalah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor serta beberapa kawasan di Sabah iaitu Tawau dan Sandakan.

Menurut MetMalaysia amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :