Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Khas Anis kepada penerima sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ibu bersyukur bantuan tampung rawatan anak istimewa RM700 sebulan

PETALING JAYA, 26 JULAI: Ibu bapa memiliki anak istimewa bersyukur menerima bantuan Kerajaan Selangor yang sedikit sebanyak membantu menampung kos rawatan bulanan yang agak besar.

Nurasyikin Basir, 50, berkata bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS) menampung kos rawatan anak kelimanya Aulia Izzantunn Nisa’ Ramli berusia empat tahun yang menghidap Cerebral Palsy (kecacatan otak).

Nurasyikin Basir. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Bersyukur sangat permohonan pertama kali diluluskan dengan mudah. Bantuan ini untuk tampung kos rawatan anak yang menelan belanja lebih RM700 sebulan.

“Jumlah itu membebankan kami yang kurang berkemampuan. Suami sudah pencen dan saya suri rumah. Saya berharap bantuan diteruskan pada masa depan,” katanya.

Wong Mee Yen, 42, ibu kepada Wong Ian berusia dua tahun yang menghidap kecacatan otak pula mencadangkan AnIS menubuhkan pusat terapi khusus untuk anak istimewa.

Wong Mee Yen. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Dengan adanya pusat seumpama ini, ibu bapa tidak perlu lagi mendapatkan rawatan di luar kerana ia menelan belanja agak mahal,” katanya.

Mereka antara penerima bantuan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 April.

 


Pengarang :