Peserta membuat pemeriksaan darah ketika program Selangor Saring DUN Sungai Ramal di Dewan Komuniti Seksyen 4, Hulu Langat pada 18 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 300 penduduk Balakong jalani saringan kesihatan percuma Kerajaan Negeri

SHAH ALAM,3 JULAI: Lebih 300 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di Gelanggang Bola Keranjang Batu 11 Cheras, hari ini.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata setakat jam 3 petang tadi, sambutan diterima amat menggalakkan termasuk daripada mereka yang datang secara jumpa terus (walk-in).

“Kebanyakan mereka yang hadir berusia 50 tahun ke atas dan masing-masing tidak mahu melepaskan peluang menikmati manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

“Setakat semalam yang berdaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) melebihi 400 individu. Mereka yang sudah berdaftar boleh lagi hadir kerana masih ada ruang untuk mereka melakukan saringan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, masalah obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula pada 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payudara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :