Keadaan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbalik selepas bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak Orang Asli dalam kemalangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada 3 Julai 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua beranak Orang Asli maut selepas motosikal bertembung MPV

IPOH, 3 JULAI: Seorang kanak-kanak dan bapanya maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata kanak-kanak itu yang dianggarkan berusia 12 tahun dan bapanya, 62, dipercayai berketurunan Orang Asli, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Empat individu lain termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Aphard hanya mengalami kecederaan, katanya.

“Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi tadi dan anggota bomba mendapati kedua-dua kenderaan itu bertembung dalam kemalangan itu sehingga mengakibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak,” katanya.

Katanya kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 11.50 pagi tadi.

-BERNAMA


Pengarang :