Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki disyaki halang tugas penjawat awam di TBS ditahan

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki menghalang anggota polis melakukan pemeriksaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada 5.45 pagi tadi dan dibawa ke Pondok Polis TBS untuk tindakan lanjut.

Katanya terdahulu sepasukan polis yang melakukan rondaan terminal berkenaan telah mengesan seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan Pintu C.

“Ketika diminta dokumen pengenalan diri, suspek tidak memberikan kerjasama dan telah berlaku pergelutan semasa pemeriksaan dijalankan. Sekali lagi pergelutan berlaku antara suspek dan anggota apabila dia cuba melarikan diri ketika berada di Pondok Balai TBS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002).

Muhammad Idzam meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi talian penting Polis Cheras di 03-9284 5050/ 5051, Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 13 saat yang memaparkan kes tangkapan itu di terminal berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :