Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad melancarkan Sambutan 50 Tahun Jubli Emas PPAS di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Perpustakaan jadi pusat perkembangan tamadun, himpun semua golongan

PETALING JAYA, 16 JULAI: Perpustakaan awam di Selangor tidak lagi menjadi tempat eksklusif kepada ulat buku, sebaliknya fungsi disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika banjir melanda negeri ini hujung tahun lalu, gedung ilmu itu berperanan penting menjadi pusat pemindahan sementara mangsa terjejas.

Malah katanya, bahan bacaan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) turut disumbang kepada anak-anak petugas hadapan termasuk pusat kuarantin sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Sejak 2008, kita telah mengubah pandangan bahawa perpustakaan bukan tempat untuk anti sosial yang hanya berkawan dengan buku tetapi ia mengumpulkan orang ramai dari usia bayi sehingga warga emas.

“Di sana (perpustakaan) menghimpunkan keperluan semasa yang pasti dikenang semua pihak. Ia menyemarakkan fungsi perpustakaan sebagai tempat perkembangan tamadun dan kebangkitan bangsa,” katanya sempena sambutan Jubli Emas PPAS dan pemukiman sasterawan di Hotel Le’Meridien, di sini.

Beliau berkata Kerajaan Selangor mempergiat usaha untuk menarik minat masyarakat berkunjung ke pusat ilmu termasuk meneroka bidang kesusasteraan.

“Kita (Selangor) negeri yang terangkum dan cuba pastikan tiada siapa tertinggal di belakang. Kekuatan kita bukan hanya diukur dari sudut pembangunan ekonomi dan jaga kebajikan, tetapi bagaimana mengisi pemikiran dan hati rakyat (dengan ilmu).

“Jadi kalau nak (tahu berkenaan) puisi, kita ambil pembaca puisi…kita akan jemput rakan-rakan dalam kalangan sasterawan, seniman dan penulis,” katanya lagi.

Terdahulu, acara makan malam tadi diserikan dengan bacaan puisi oleh sasterawan negara Datuk Seri Dr A Samad Said dan Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail selain dendangan lagu puisi Maestro Syair Nusantara Roslan Madun.


Pengarang :